Monday, September 10, 2012

Politik kita memang caca marba

Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan. Ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi. Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka. Disiplin Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada dari agama ataupun budaya. Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda: "Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat". (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: "Sanad hadith ini hasan.") Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan. Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam. Lihatlah apa yang Allah tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka. Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas."(Surah al-Baqarah ayat 190). Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi SAW bersabda: "Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar' dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini. Dalil agama ikut kehendak parti Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat "mengapa awak londeh seluar kepada gambar pemimpin tertentu" maka akan ada yang menjawab "mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat". Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka. Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk. Itu belum lagi datang "geng agama" parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti! Ustaz muda Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah Salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab. Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwil dengan sejuta penafsiran. Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh. Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar. Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka. Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama'. Maka tidak pelik jika Allah menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman Allah: "Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah al-A'raaf: 175-176) Fatwa artis Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam'. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan' yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz' dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel', tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya. Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahah dan maqasid syarak. Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman. "Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal -dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu 'al-Ruwaibidoh'. Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW: "Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)." Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya. Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada' dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut! -------------------------------------------------------------------------------- Hak Kepunyaan -PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis

Monday, July 30, 2012

Ramadhan

Amalan bersejarah Ramadan menjelang, kita berpuasa. Puasa bukanlah ibadah baru yang bermula sejak kedatangan Nabi Muhammad SAW. Puasa telah wujud sejak zaman berzaman lagi sebelum Nabi Muhammad SAW dibangkitkan sebagai rasul. Justeru itu Allah menyebut (maksudnya): "Wahai mereka yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah 183). Ayat ini mengingatkan kita bahawa ibadah ini bukan ibadah baru. Ia satu ibadah yang telah diamalkan dalam syariat nabi-nabi sebelum kita. Mereka sebelum kita telah berpuasa bagi mematuhi arahan Allah. Ini memberikan kita kesedaran, betapa adanya hubung kait antara agama-agama yang dianuti oleh manusia. Islam mengiktiraf itu semua. Jika Allah mahu, boleh sahaja Allah hanya menyebut "diwajibkan kepada kamu puasa", tanpa disebut "seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu". Namun dengan hikmah yang besar Allah mengingatkan hubungan ini bagi mengingatkan kita sejarah agama. Maka jangan hairan jika kita dapati beberapa persamaan dalam amalan agama antara Yahudi, Kristian dan Islam. Hanya orang yang tidak memahami al-Quran, sunah dan sejarah agama sahaja yang menafikan kewujudan persamaan. Mereka inilah yang cuba menjadi isu-isu seperti berkongsi panggilan Allah, panggilan nabi dan nama-nama tertentu sebagai isu permusuhan dalam agama. Mereka lupa sejarah yang disebutkan oleh al-Quran di atas. Persamaan Al-Quran dan sunah menjadikan isu persamaan ini sebagai penggerak yang membolehkan dakwah Islam sampai ataupun lebih mudah difahami oleh mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Maka, layanan untuk mereka lebih istimewa dalam Islam. Dalam surah al-Maidah ayat 5, Allah menghalalkan Muslim memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka. Walaupun ada mazhab yang menyempitkan tafsiran bahawa itu merujuk kepada Ahli Kitab keturunan tertentu sahaja, namun majoriti ulama berpendapat ia merangkumi semua Yahudi dan Kristian. Sudah pasti di sana ada ikatan dan syarat tertentu. Apapun, tujuannya untuk mendekatkan mereka dengan dakwah Islam yang mempunyai kesinambungan dari ajaran para nabi sebelum ini. Disebabkan kelemahan sikap sesetengah umat Islam, nampaknya orang Kristian lebih menggunakan persamaan ini untuk berkempen dakwah mereka dibandingkan orang Muslim. Lebih teruk lagi, ada orang Muslim yang menggunakan isu persamaan ini untuk menghidupkan suasana tegang dan modal politik. Sepatutnya seperti mana al-Quran dan sunah mengajar Muslim, isu persamaan digunakan untuk membawa dan menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Para nabi itu saudara dari keluarga yang berbeza. Ibu mereka ramai namun agama mereka satu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis al-Bukhari, apabila Nabi SAW berada di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (hari ke sepuluh Muharram). Baginda bertanya kenapa mereka berpuasa. Mereka menyatakan kerana sejarah perjuangan Nabi Musa AS. Mendengar alasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Daku ini lebih berhak untuk menghormati Musa dibandingkan mereka" lalu baginda berpuasa dan mengajak umat Islam berpuasa. Ruang Pendekatan al-Quran dan sunah adalah mengambil ruang persamaan untuk membawa dan memahamkan penganut agama lain tentang peranan Islam sebagai agama yang terakhir. Mengingatkan bahawa semua nabi itu atas ajaran Allah yang satu. Mereka hakikat membawa akidah Islam yang sama, walaupun syariat ataupun peraturan hukum antara mereka ada beberapa perbezaan. Namun banyak juga yang sama. Kesan-kesan persamaan itu terus diwarisi dan tidak boleh dinafikan. Bahkan ada masanya al-Quran memuji agama Kristian dan sikap sesetengah rahib mereka. Firman Allah (maksudnya): "...demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: 'Bahawa kami ini orang-orang Nasrani'. Yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82). Islam mengajak kita mengambil ruang untuk meredakan ketegangan dan memudahkan perbincangan. Sementara sesetengah pihak sama ada Kristian ataupun Muslim, cuba menjadikan persamaan yang ada sebagai titik permusuhan dan ketegangan. Kita patut kembali kepada pendekatan al-Quran dan sunah. Hasil Nukilan - PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Monday, June 11, 2012

Untuk Renungan Bersama

Saya sering juga menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pelbagai gereja di persekitaran tempat tinggal saya di Bandar Oxford ini. Saya ingin melihat dan mendengar cara mereka. Ternyata gereja itu telah jauh berubah dari apa yang tercatat dalam sejarah mereka. Dahulunya, hukuman dan penyeksaan ke atas mereka yang dianggap tidak sealiran menjadi amalan gereja. Betapa ramai yang dibakar hidup-hidup, diseksa dengan dengan pelbagai seksaan yang kejam, dimalukan dan pelbagai lagi penindasan. Kesemuanya atas nama Jesus. Bukan sedikit Yahudi dan Muslim yang dibunuh di Eropah dengan cara yang begitu dahsyat. Bahkan bukan sedikit golongan pembaharuan Kristian sendiri yang berbeza mazhab seperti Protestan yang dibakar hidup-hidup. Bumi Oxford turut menyaksikan kekejaman itu dalam sejarahnya. Betapa ramai juga saintis yang dibakar dan dibunuh. Kesemuanya atas nama Tuhan. Kononnya mereka menghukum penentang Tuhan, ataupun yang berbeza dengan Tuhan yang ditafsirkan oleh mereka. Berubah Hari ini, pendekatan gereja sudah jauh berubah. Sangat lunak. Sekularisasi yang memisahkan agama dari kuasa politik telah membawa gereja kepada keadaan yang lebih tabii dan rasional. Bicaranya penuh dengan keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita tidak ingin memaksa orang lain menjadi kristian tetapi ingin berkongsi dengan mereka. Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi isu-isu kemanusiaan. Di Gereja St Aldates diperuntukkan pagi Hari Selasa ‘Prayer for the Muslim World'. Juga, banyak pula aktiviti gereja yang menarik untuk pelbagai pihak. Kelas tarian, kelas bahasa Inggeris, sejarah, lawatan dan perjumpaan mingguan. Ramai orang dari pelbagai agama hadir untuk bersosial. Tiada penekanan untuk menerima agama Kristian, sebaliknya sekadar memberikan khidmat. Ramai mereka yang mengendalikan program itu sendiri tidak mendalam dari segi ilmu teologi itu sendiri. Banyak persoalan yang ditanya, sukar gagal dijawab dengan jawapan yang memuaskan. Namun, walaupun mereka tidak menawan dengan hujah, tetapi dengan menambat hati dan jiwa. Banyak aktiviti kebajikan yang mereka lakukan di seluruh dunia menarik perhatian manusia. Saya melihat ramai sekali orang-orang Cina yang terlibat dengan pelbagai aktiviti gereja di sini dan di seluruh UK. Ramai yang menjadi petugas dan pendakwah. Mereka sangat aktif. Bahkan ada gereja yang memberikan tumpuan khas untuk mereka. Saya percaya bahawa ajaran Kristian akan mendapat tempat di hati rakyat China. Bahkan tidak mustahil satu hari China akan menjadi negara yang terbesar penduduk Kristiannya. Dalam adat dunia, sesiapa yang bekerja dia mendapat hasilnya. Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat perkembangan China hari ini. Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Kristian berada di puncak. Malang Malang sekali umat Islam. Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun, ramai yang menggunakan pendekatan yang salah. Orang Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat. Tiada petugas yang menjaga. Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja. Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut. Namun jika kita ke kawasan pedalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka. Saya pernah melihat mereka ketika suatu masa dahulu saya menyertai aktiviti dakwah kawasan pedalaman Thailand. Akal Dan Jiwa Islam agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka. Inilah asas pendekatan dakwah Islam. Islam tidak pernah kenal kegiatan ganas dalam dakwah, sama ada pada tindakan ataupun perkataan yang jelek. Allah mengarahkan Muslim. dalam firman-Nya (maksudnya): "Dan berbicaralah kepada manusia dengan baik" (Surah al-Baqarah 83). Ayat ini menyatakan "berbicaralah kepada manusia" bukan sekadar berbicara kepada orang Muslim sahaja. Dalam Tafsir at-Tabari, ketika mengulas ayat ini dinukilkan kata-kata Hasan al-Basri: "Maksud ayat ini; perkataan yang lunak, adab yang baik, akhlak yang mulia." Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada kebenaran. Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan cercaan. Firman Allah (maksudnya): "Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin (polytheist) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)." (Surah at-Taubah, ayat 6). Dalam ayat di atas golongan bukan Islam yang meminta bantuan dilindungi dan dihantar ke tempat yang aman sekalipun mereka enggan menerima Islam setelah mendengar hujah yang benar. Dalam Surah al-Nisa, ayat 36, Allah berfirman (maksudnya): "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri". Kata at-Tabari: "Maksud al-jar bil-janb dalam ayat ini ialah jiran yang jauh dan asing. Ia merangkumi Muslim, musyrik (polytheist) Yahudi dan Kristian." Mazhab yang empat bersepakat bahawa harus kita Muslim mengucapkan takziah kepada non-Muslim. Ibn Qudamah dalam al-Mughni menyebut bahawa antara ucapan Muslim apabila memberikan takziah kepada Non-muslim ialah: "Moga Allah memberikan ganti musibah yang menimpamu dengan yang terbaik dalam kalangan keluargamu." Politik Hubungan indah yang Islam gariskan antara Muslim dan Non-Muslim telah bertukar menjadi isu politik dalam banyak keadaan. Ajaran-ajaran agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan yang seperti ini. Sedangkan nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan Muslim gagal melihat wajah Islam yang asal. Allah yang Maha Rahmat itu sering dilukis dalam gambaran Allah yang maha bengis. Jika gereja berubah daripada negatif kepada positif, kita juga patut kepada kepada positif yang jelas termaktub dalam nas-nas kita. Isu hubungan Muslim dan Non-muslim kadang-kala dimainkan oleh mereka yang berkepentingan politik. Kerja Muslim sepatutnya berdakwah dan berdiolag dengan cara yang baik, bertukar menjadi bercoleteh dan merepek dalam perkara yang selekeh. Kita asyik merungut dakwah orang, kita tidak buat dakwah kita. Kita bising ‘Talking Bible' orang lain, kita tidak sediakan pun ‘Talking Quran' kita. Hari ini dunia persaingan. Pasaran dakwah dan pemikiran sangat terbuka. Ia boleh sampai kepada manusia melalui pelbagai cara. Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya. Maka, nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya. Namun, sekarang berleter sebab orang berdakwah ataupun berkempen, tidak akan memberi apa-apa kekuatan untuk orang menerima kita. PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN --------------------------------------------------------------------------------